
KUALA LUMPUR, 19 Januari –Parlimen Belia dijangka dapat direalisasikan sekitar Mei atau Jun tahun ini, selepas semua persiapan format dan panduan hampir dimuktamadkan.
- Parlimen Belia dijangka diadakan sekitar Mei atau Jun selepas format dan panduan hampir dimuktamadkan.
- Pendaftaran dan penubuhan parti di peringkat universiti diperlukan sebelum pilihan raya dapat dilaksanakan.
- Inisiatif bertujuan memperluas penglibatan belia, pendedahan proses demokrasi dan melahirkan pemimpin masa depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata proses kini tertumpu kepada penubuhan parti-parti di peringkat universiti sebelum pilihan raya Parlimen Belia dapat dilaksanakan tertakluk kepada kelancaran sistem dan persiapan akhir.
“Sekiranya sistem yang dibangunkan berjalan lancar, pilihan raya mungkin dapat diadakan sekitar Mei atau Jun, diikuti persidangan selepas itu,” katanya.
Tambah Tan Sri Johari, Dewan Rakyat kini berada pada tahap kesiapsiagaan sepenuhnya.
“Kita mahu memastikan pilihan raya benar-benar dapat dilaksanakan pada Mei atau Jun, insya-Allah,” katanya katanya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, di sini hari ini.
Istiadat pembukaan bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sebelum ini, Tan Sri Johari menekankan bahawa Parlimen Belia adalah usaha penting untuk memperluas penglibatan golongan muda dalam sistem demokrasi, memberi pendedahan awal terhadap proses persidangan, dan melatih mereka menyampaikan idea serta cadangan secara tersusun dan bertanggungjawab.
Inisiatif ini juga selaras dengan usaha memperkukuh budaya demokrasi serta melahirkan generasi pemimpin masa depan yang matang dan berwibawa.