Lebih 345,000 pelajar mulakan sesi persekolahan 2026 di Kedah

FOTO BERNAMA

ALOR SETAR, 11 Januari – Seramai 345,259 pelajar memulakan hari pertama sesi persekolahan 2026 di 753 buah sekolah di Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah pelajar sesi 2026 di Kedah melibatkan 345,259 pelajar di 753 sekolah.
  • Sekolah rendah mencatat 199,208 murid; terdiri aliran perdana, aliran khas dan prasekolah.
  • Sekolah menengah merekod 146,051 pelajar termasuk aliran perdana, khas, STAM dan vokasional.
  • Kerjasama Jabatan Pendidikan dan polis menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah untuk keselamatan dan disiplin.

Daripada jumlah itu, seramai 29,004 merupakan murid Tahun Satu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, bagi sekolah rendah; seramai 180,707 murid mengikuti aliran perdana; 4,869 aliran khas; dan 13,632 prasekolah dengan jumlah keseluruhan 199,208 murid melibatkan 548 sekolah.

Manakala bagi sekolah menengah; 140,294 pelajar mengikuti aliran perdana; 3,362 aliran khas; 5,757 pelajar Tingkatan 6 dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM); serta 3,963 pelajar vokasional dengan jumlah keseluruhan 146,051 pelajar melibatkan 205 sekolah.

Beliau berkata, sebuah sekolah baharu mula beroperasi tahun ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baharu Sungai Lalang di Sungai Petani.

“Dan kita harapkan pada tahun ini masalah utama yang berkaitan dengan keciciran, ketidakhadiran adalah sebahagian daripada fokus Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk kita pastikan anak-anak ini berada di sekolah pada waktu yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama pembukaan sekolah kalendar akademik sesi 2026 di Kolej Sultan Abdul Hamid, di sini.

Turut hadir, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah.

Tambahnya, Jabatan Pendidikan Negeri berkolaboratif bersama pihak polis dengan menempatkan anggota polis sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah di setiap sekolah.

Ia bagi memantau dan menangani isu keselamatan, disiplin pelajar termasuk buli, dan nasihat undang-undang bagi memastikan persekitaran sekolah selamat dan kondusif melalui kerjasama erat dengan pentadbir serta guru.