BUTTERWORTH, 16 September – Penganjuran Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pulau Pinang diibaratkan sebagai serampang dua mata, kerana ia bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat, malah turut menjadi platform kepada peniaga kecil tempatan untuk menjana pendapatan.
Peniaga Putri Nurwardya Mohd Faisal yang ditemui RTM menyifatkan acara berkenaan sebagai peluang besar untuk menjana rezeki, selain berharap kehadiran pengunjung semakin ramai menjelang malam ini bagi memeriahkan lagi suasana sambutan.
“Macam ada acara besar macam ni, kami ada peluang untuk dapat lebih pendapatan. Harap lebih ramai pengunjung datang ke trak makanan sini sebab kat dalam ramai,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Mohd Fauzi Hasan berpandangan acara besar seperti ini yang diadakan mampu menjana pendapatan golongan usahawan kecil.
“Alhamdulillah bila ada acara seperti ini, ia dapat menambah hasil pendapatan kami. Lebih ramai pengunjung akan memeriahkan acara ini,” katanya.
Bagi Rosmawati Abu Bakar pula, ia memberi peluang besar kepada peniaga kecil khususnya pengusaha trak makanan untuk menambah pendapatan.
“Alhamdulillah bila ada event macam ni, dapatlah tambah sikit pendapatan kami,” katanya.
Pelbagai program menarik disediakan termasuk reruai interaktif Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti set cuba bakat DJ dan RTM Klik, Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta reruai Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.
Turut disediakan demonstrasi penyediaan makanan tradisional seperti ubi kayu, selain menikmati pameran pakaian dan peralatan warisan yang mendekatkan masyarakat dengan budaya tempatan.
Sambutan kali ini menampilkan lima segmen utama yang menonjolkan identiti serta warisan budaya Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah selaras keputusan Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020, yang menetapkan sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir di seluruh negeri.
Sambutan turut menyaksikan acara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Sambutan itu akan turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow selaku tuan rumah, bersama barisan jemaah menteri.