Ancaman jenayah siber guna AI semakin kritikal – Pakar

KUALA LUMPUR, 14 September – Kebocoran data peribadi, penipuan menggunakan suara tiruan, penyalahgunaan video ‘deepfake’ dan serangan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) kini dikenal pasti sebagai bentuk jenayah siber kritikal.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya, Prof Madya Dr Saaidal Razalli Azzuhri berkata sistem pertahanan digital negara perlu diperkukuh, termasuk pengesanan dan pencegahan pencerobohan.

Ini kerana katanya, nombor kad pengenalan, e-mel serta akaun bank sering menjadi sasaran si penggodam.

Menurutnya, kerjasama bersepadu antara kerajaan, pembangun teknologi serta pengguna adalah kunci utama dalam menangani jenayah siber, sekali gus memastikan keselamatan digital negara kekal terjamin.

“Pembekal teknologi tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan aplikasi tanpa kawalan keselamatan dan perlu diteliti rapi.

“Pengguna pula harus mengelak daripada menyalahgunakannya untuk jenayah. Ini memerlukan keselarasan antara pembangun teknologi, penguatkuasaan kerajaan dan pengguna,” katanya kepada Berita RTM.

Beliau menambah, usaha membanteras penipuan digital hanya dapat dicapai melalui pendidikan dan kesedaran awam berterusan.

Ini termasuk mendidik masyarakat mengenai cara mengesan serta melaporkan ancaman siber.

“Orang ramai juga seharusnya tidak mudah percaya dengan maklumat diterima serta mengelak daripada berkongsi data peribadi tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu,” katanya.