
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan mengambil pendekatan proaktif dalam mendepani tekanan ekonomi susulan krisis global, termasuk gangguan bekalan tenaga di Selat Hormuz serta ketidaktentuan pasaran minyak dan gas dunia bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
- Kesan krisis global menjejaskan rantaian bekalan makanan, baja dan tenaga serta berpotensi meningkatkan harga jika tidak ditangani.
- Kerajaan mengambil langkah segera, teliti dan berhemah untuk mengurangkan impak demi memastikan kesejahteraan rakyat.
- Kerajaan mohon kerjasama rakyat serta melaksanakan pendekatan terangkum untuk memastikan bekalan mencukupi dan mengurus permintaan secara berhemat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi tersebut memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan negara meliputi makanan, baja dan tenaga, sekali gus berpotensi mendorong peningkatan harga jika tidak ditangani secara berkesan.
“Saya mohon sangat-sangat kerjasama rakyat supaya memahami. ini langkah yang kita ambil, terpaksa ambil kerana tekanan yang kita hadapi dan saya percaya ada
yang akan membuat pelbagai tohaman dan tafsiran yang tak boleh kita elak.
“Tapi percayalah, saya tidak mahu rakyat merasa tertekan dan langkah-langkah kita itu sangat teliti dan berhemah,” katanya dalam perutusan khas hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan tidak boleh berdiam diri dalam menghadapi kesan krisis global yang menjejaskan bekalan makanan, baja serta minyak dan gas.
Beliau berkata, langkah segera perlu diambil bagi mengurangkan impak, memandangkan Malaysia turut terkesan walaupun ada negara lain lebih parah.
Sehubungan itu katanya, kerajaan mengambil pendekatan lebih terangkum bagi memastikan bekalan kekal mencukupi serta mengurus permintaan secara berhemat.