fb fb fb fb fb

‘Olympic House’ simbol masa depan sukan negara - Norza

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohd Norza Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Jun - Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohd Norza Zakaria menyifatkan pembinaan ibu pejabat baharu MOM, Olympic House, sebagai langkah strategik ke arah memperkukuh pentadbiran sukan negara secara lebih tersusun dan berdaya saing.

Beliau memaklumkan bahawa projek yang menelan kos sekitar RM97 juta itu dijangka bermula hujung tahun ini, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan dan disasar siap sepenuhnya menjelang tahun 2028.

"Kami merancang untuk mengadakan majlis pecah tanah pada akhir Julai selepas menerima persetujuan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM). Seterusnya, kami akan memulakan proses penyerahan dokumen kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan kelulusan rasmi."

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Hari Olimpik 2025 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi PSM, Datin Anita Azrina Abdul Aziz dan Timbalan Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Pembinaan Olympic House akan dilaksanakan dalam dua fasa, merangkumi pembinaan bangunan utama, dewan jamuan serta sebuah hotel.

Ibu pejabat baharu ini turut bakal menjadi pusat pentadbiran bagi 58 persatuan sukan kebangsaan yang bernaung di bawah Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE