fb fb fb fb fb

Zii Jia, Indra Wijaya berpisah: Mahu bergerak tanpa jurulatih

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 28 November - Selepas sembilan bulan membimbing Lee Zii Jia sebagai pemain profesional kini Indra Wijaya tidak lagi bersama pemain nombor dua dunia itu.

Perkara tersebut disahkan pengurus Zii Jia, Lee Zii Yii.

Zii Jia membuat keputusan tersebut kerana mahu bergerak tanpa jurulatih.

Dalam pada itu, Indra akui keputusan tersebut dicapai ketika perbincangan antara beliau bersama jaguh perseorangan lelaki negara pada Jumaat lepas.

"Saya menghormati keputusannya dan kami berpisah dengan baik," kata Indra.

(Kiri - Indra Wijaya/FOTO fail BERNAMA)

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain tersebut.

Pemenang pingat gangsa Piala Dunia 1997 kelahiran Indonesia itu, yang telah pulang bertemu keluarganya di Jakarta, kini terbuka untuk menerima mana-mana tawaran baharu.

Pada Februari lepas, Indra meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membimbing Zii Jia yang terlebih dahulu berundur daripada badan induk tersebut untuk bergerak sebagai pemain profesional.

Indra pernah mewakili Indonesia dari 1995 hingga 2000 bersama-sama Ardy B Wiranata dan Hariyanto Arbi. Selepas itu beliau menjadi pemain Singapura dalam beberapa kejohanan badminton di peringkat antarabangsa.

Media Baharu