fb fb fb fb fb

YPPK hulur tangan buat Gabit Saleh bangkit semula

Datuk Noorul menyampaikan sumbangan kepada Gabit Saleh

KUALA LUMPUR, 23 April- Dahulunya menggegarkan litar permotoran tempatan, kini bekas jaguh motocross negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh atau Gabit Saleh, sedang bergelut dengan ujian kesihatan yang mengubah seluruh rentak hidupnya.

Namun hari ini, sinar baharu muncul apabila Pengerusi Yayasan Pemerkasaan Pendidikan dan Kemahiran (YPPK), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed tampil menyuntik semangat baharu bukan sekadar melalui sumbangan kewangan, tetapi sokongan moral yang cukup bererti.

"Kami akan tunggu keputusan perubatan Gabit pada 29 haribulan ini sebelum ambil langkah susulan. Tapi apa pun, kami akan bantu sedaya upaya. Yang penting, semangat dia tak padam," katanya.

Datuk Noorul, yang juga bekas Pengerusi YAKEB, mengakui beliau terpanggil untuk turun padang kerana menyedari bahawa pengorbanan atlet negara sering kali tenggelam selepas mereka bersara atau ditimpa musibah.

 

2304 ZIARAH GABITDatuk Noorul ditemui RTM ketika menziarahi Gabit Saleh dikediamannya

Bagi Gabit, lawatan itu bukan sekadar kunjungan biasa. Ia hadir tepat pada waktunya, saat dirinya cuba bangkit dari tempoh paling mencabar dalam hidup.

"Saya tidak mengharapkan apa-apa. Tapi bila mereka datang dan bawa semangat, saya rasa dihargai. Itu lebih mahal dari segala-galanya," kata Gabit sebak.

Turut hadir, Che Zamri Hamid, Timbalan Presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang menyifatkan Gabit sebagai ikon permotoran yang tidak seharusnya dibiarkan terus menyepi.

 

2304 ZIARAH GABIT 4Gabit Saleh jaguh motocross dan supermoto negara

 

Gabit disahkan menghidap kanser tahap empat pada tahun 2021 dan disahkan bebas daripada penyakit itu pada 2023 selepas menjalani beberapa siri rawatan kemoterapi.

Namun, pada awal 2024, Institut Kanser Negara (IKN) mengesahkan bahawa barah tersebut kembali menyerangnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE