KUALA LUMPUR, 23 April- Pemain beregu campuran negara, Hoo Pang Ron, memberi tumpuan penuh kepada aspek taktikal, teknikal dan persiapan mental bersama gandingannya, Cheng Su Yin, menjelang saingan Piala Sudirman 2025 yang bakal bermula hujung bulan ini.
Menurut Pang Ron, mereka kini sedang menyesuaikan corak permainan dengan lebih pelbagai agar sukar dibaca pihak lawan, terutama selepas kejayaan meraih tempat kedua di Masters China 2024 yang mendapat perhatian ramai.
"Kami sedang cuba pelbagaikan corak permainan dan beri fokus juga kepada aspek mental. Selepas kejayaan di China Masters, ramai yang mula beri perhatian kepada corak permainan kami termasuk di YouTube, jadi bukan mudah nak kekalkan kelebihan. Sekarang kami tengah fikir bagaimana nak kekal bersaing di tahap tinggi," katanya.
Selepas kejohanan di China, prestasi Pang Ron – Su Yin sedikit menurun apabila hanya mara ke suku akhir dalam dua daripada tujuh kejohanan tahun ini. Namun, pasangan berkenaan tetap optimis untuk kembali bangkit dalam kempen Piala Sudirman.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C akan memulakan cabaran menentang Perancis pada 28 April, diikuti Australia (29 April) dan pilihan ketiga kejohanan, Jepun pada 1 Mei.
Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat empat terakhir terlebih dahulu pada kejohanan Piala Sudirman 2025 yang bakal berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.
Pencapaian terbaik negara adalah di peringkat separuh akhir pada edisi 2009, 2021 dan 2023.
Selain pemain di bawah naungan BAM, Malaysia turut menyenaraikan pemain profesional di China dengan kesemua mereka sudah menjalani latihan pusat hampir dua minggu di ABM.
Dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dan Justin Hoh akan membawa cabaran negara manakala perseorangan wanita akan diperkuatkan oleh pemain profesional Goh Jin Wei serta pemain muda, K Letshanaa.
Acara beregu lelaki menampilkan trio utama negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun. Untuk beregu wanita, dua pasangan dipertaruhkan iaitu Pearly Tan-M Thinaah dan Go Pei Kee-Carmen Ting.
Bagi beregu campuran pula, selain Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, Malaysia turut mempertaruhkan dua lagi gandingan iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bagi memberikan variasi strategi dalam acara penting itu.