fb fb fb fb fb

Young Tigers Timbang Pengalaman di Kejohanan Hoki Piala Emas MCC Murugappa All India

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan, Young Tigers, akan menyertai Kejohanan Hoki Piala Emas MCC Murugappa All India buat kali pertama bagi edisi ke-96 yang akan berlangsung dari 10 hingga 20 Julai di Stadium SDAT-Datuk Bandar Radhakrishnan, Chennai, India.

Dalam satu kenyataan konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyatakan penyertaan itu menjadi medan penting persiapan menjelang dua kejohanan utama Piala Sultan Johor 2025 dan Piala Dunia Remaja Lelaki FIH yang turut dijadualkan berlangsung di India pada penghujung tahun ini.

Skuad negara dijadual menentang Indian Navy pada aksi pembukaan Kumpulan B, Sabtu ini, diikuti Pasukan Central Board of Direct Taxes (13 Julai), Indian Oil Corporation Ltd (15 Julai) dan Hockey Karnataka (16 Julai).

Seramai 18 pemain bersama tujuh pegawai akan berlepas ke Chennai esok, dengan sasaran utama untuk menimba pengalaman berintensiti tinggi serta memperbaiki keserasian pasukan.

Dalam kenyataan itu juga Ketua Jurulatih, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyatakan penyertaan dalam kejohanan ini bukan sekadar persiapan teknikal tetapi sebagai penilaian terhadap KPI kendiri pemain dan pematuhan terhadap taktikal pasukan.

“Kami sasarkan pemain bukan sahaja bermain dengan baik mengikut taktikal, tetapi turut membawa mentaliti mahu menang sepanjang kejohanan ini,” katanya.

Penyertaan ini turut menjadi sebahagian daripada persiapan jangka panjang menjelang Piala Dunia Remaja 2025 dan edisi seterusnya pada 2027.

AZRUL FAIZAL JUSOH