SUNGAI BULOH, 9 Julai- Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) kini dalam usaha mengenal pasti pemain warisan yang berpotensi menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang sebagai langkah memperkukuh pasukan negara.
Presidennya Amir Amri Mohamad menyatakan, cadangan penggunaan pemain warisan mendapat perhatian selepas ia dibangkitkan penggiat dan peminat ragbi tanah air.
KRM bersikap terbuka terhadap pendekatan tersebut.
Beliau berkata, beberapa langkah awal sudah digerakkan bagi menilai potensi pemain warisan yang layak dan mampu memberi impak kepada pasukan negara, bergantung kepada kemampuan KRM termasuk dari aspek kewangan.
"Kita akan tengok dari semasa ke semasa pemain-pemain warisan dan juga dari segi kewangan Malaysia ragbi sendiri dan kemampuan kita dan Insyaallah kita akan cuba laksanakan, dan buat masa ini memang ada usaha kenal pasti dahulu pemain-pemain warisan yang boleh bermain untuk Malaysia."
jelas beliau pada majlis penajaan Hong Leong Yamaha Motor(HLYM) di Sungai Buloh semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, HLYM menyalurkan tajaan RM200,000 kepada KRM bagi mempersiapkan skuad ragbi tujuh sepasukan lelaki dan wanita negara ke temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember depan.