fb fb fb fb fb

Yew Sin-Ee Yi beri keyakinan bangkit pada kejohanan akan datang

BUKIT JALIL, 14 Januari- Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memberi keyakinan akan bangkit pada kejohanan seterusnya selepas tewas kepada Indonesia pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023.

Yew Sin berkata, mereka akan merangka strategi bersama jurulatih, Rosman Razak untuk mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan akan datang.

Sementara itu, Ee Yi memaklumkan, mereka juga akan bermain dengan lebih konsisten pada masa hadapan.

“Set pertama kita lebih main bertahan, namun sebaik masuk set kedua kita masih menggunakan taktik yang sama, Fajar-Muhammad Rian sudah tukar taktik, mungkin itu yang menyebabkan mereka mampu menang," katanya selepas tewas kepada beregu Indonesia di Arena Axiata di sini malam tadi.

(Aksi Yew Sin-Ee Yi pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka
Malaysia 2023 / Foto BERNAMA)

Beregu negara itu gagal meneruskan saingan ke peringkat separuh akhir apabila tewas 21-14, 16-21 dan 17-21 dalam pertarungan selama 75 minit.

Terdahulu, beregu campuran negara  Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang melangkah ke suku akhir, tewas kepada bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 19-21, 9-21.

Pemain-pemain lain yang diharap menyerlah dalam kejohanan berkenaan ialah perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang tersingkir seawal pusingan pertama.

Sementara seorang lagi pemain perseorang negara, Ng Tze Yong dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di pusingan kedua.


Media Baharu