SYDNEY, 14 September- Bekas pemain tengah Chelsea dan Manchester United, Juan Mata, menepis kebimbangan tentang tahap kecergasannya pada Sabtu, dengan menyatakan dia yakin mampu memberi impak dengan kelab baharunya, Western Sydney Wanderers.
Pemain yang kini berusia 36 tahun itu telah menandatangani kontrak selama setahun dengan kelab A-League tersebut selepas meninggalkan pasukan Jepun, Vissel Kobe, di mana dia hanya membuat satu penampilan ringkas musim lalu.
Apabila ditanya tentang kekurangan masa bermain di Jepun, Mata berkata ia adalah satu "cerita panjang".
"Secara peribadi, ia agak mengecewakan, kerana tidak mendapat masa bermain sebanyak yang saya jangkakan," tambahnya ketika tiba di Sydney.
Mata menyatakan dia kekal cergas dan menjalani latihan di luar musim bersama kelab Denmark, FC Nordsjaelland, sebelum memilih untuk menyertai Wanderers.
"Saya rasa bersedia untuk kembali, benar-benar bersemangat untuk berada di atas padang. Saya ada perasaan yang baik dan yakin bahawa ini akan menjadi musim yang baik," katanya.
"Saya sangat bertuah dengan kerjaya yang saya lalui, tetapi saya masih 'lapar' untuk beraksi lebih lama lagi, untuk terus menikmati bola sepak dan memenangi lebih banyak trofi bersama kelab ini."
Mata memenangi Piala Dunia bersama Sepanyol pada 2010 dan membantu pasukannya menjadi juara Eropah dua tahun kemudian.
Dia juga memenangi Liga Juara-Juara bersama Chelsea dan Liga Europa bersama Chelsea dan Manchester United.-AFP