fb fb fb fb fb

WUG 2025: Perseorangan lelaki Jacky ketuai negara ke pusingan 32 terbaik

Pemain perseorangan lelaki, Jacky Kok Jing Hong / BERNAMA

MULHEIM AN DER RUHR, 24 Julai - Malaysia berjaya meneruskan cabaran dalam acara badminton apabila lima wakil negara mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik pada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di sini, awal pagi ini waktu Malaysia.

Dua perseorangan lelaki negara,  Jacky Kok Jing Hong akan bertemu Sok Rekreay dari Sri Lanka dan Eogene Ewe bakal membuat perhitungan berdepan Donnias Oliveira dari Brazil selepas menewaskan lawan masing-masing di pusingan 64 terbaik yang berlangsung di Westenergie Sporthalle awal pagi ini.

Dalam acara perseorangan wanita, Wong Ling Ching akan bertemu Weronika Gorniak dari Poland manakala Siti Zulaikha Muhammad Azmi bakal menentang Suhasni Vidanage dari Sri Lanka.

Turut mara ialah beregu campuran Liew Xun-Vannee Gobi yang akan berdepan Sathish Kumar Karunakaran-Vaishnavi Khadkekar dari India.

Bagaimanapun, Malaysia gagal untuk sekurang-kurangnya mempertahankan pingat gangsa dalam acara beregu lelaki selepas gandingan Muhammad Fazriq Mohamad Rashid-Bryan Jeremy Gooting tumpas di tangan Jepun Shiina Sato-Tsubasa Yoshida dari Jepun 9-15, 7-15 pada aksi pusingan 32 terbaik.

Terdahulu, pasangan Jepun itu menyingkirkan satu lagi gandingan negara Liew Xun-Wee Yee Hern 15-12, 15-10 di pusingan 64 terbaik.

Dalam saingan memanah di Sportpark Am Hallo, Essen, Malaysia meneruskan kemaraan ke pusingan penyingkiran 1/8 masing-masing dalam acara recurve berpasukan lelaki dan wanita serta compound berpasukan lelaki dan wanita, sementara recurve berpasukan campuran akan berentap dalam pusingan penyingkiran 1/12.

Sementara itu, pada hari terakhir saingan taekwondo, Malaysia menutup kempen tanpa sebarang pingat selepas trio Ahmad Nor Iman Hakim Rakib, Fu Cern Put Thai dan Muhammad Syafiq Zuber tewas 0-2 di tangan Taiwan pada aksi pusingan 16 terbaik acara kyorugi berpasukan lelaki.

Pada hari terakhir acara renang di Schwimm-und Sprunghalle im Europasportpark Berlin, Tan Khai Xin gagal ke peringkat seterusnya selepas menduduki tempat keempat dalam saringan dua 400 meter (m) gaya bebas rampaian lelaki dengan catatan masa 4 minit 33.78 saat (s).

Kuartet 4x100m rampaian lelaki dibarisi Khiew Hoe Yean, Andrew Goh, Leong Bryan Xin Ren dan Arvin Shaun Singh Chahal turut terkandas di pusingan awal selepas menduduki tempat ketujuh dalam saringan empat dengan masa 3:42.47s.

Dalam pada itu, Jonah Chang Rigan tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok 12 yang mara ke final acara lontar peluru lelaki selepas menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-16 dengan lontaran sejauh 17.75m di Lohrheidestadion, Bochum.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE