SONGKHLA, 24 Julai - Skuad sepak takraw lelaki negara membuka kempen Piala Raja Thai ke-38 dengan langkah kanan apabila menundukkan musuh tradisi, Thailand, dalam acara kuadran di Dewan Hatyai, Pusat Beli-Belah Central Hatyai, semalam.
Malaysia yang dibarisi Aidil Aiman Aznawi, Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Muhammad Shahalril Aiman Halim mengejutkan penyokong tuan rumah dengan kemenangan straight set 15-13, 17-16 dalam aksi mendebarkan kumpulan A.
Kejayaan itu sekali gus mencerahkan peluang skuad negara ke separuh akhir, selain menebus kekalahan 16-21, 13-21 kepada Thailand pada temasya Sukan SEA 2017 di lokasi sama.
Terdahulu, skuad kendalian Zulkarnain Mohd Ariff bangkit daripada ketinggalan sebelum menumpaskan Myanmar 16-17, 15-8, 15-11 pada aksi pembukaan kumpulan.
Malaysia akan meneruskan cabaran menentang Korea Selatan sebelum menutup saingan kumpulan bertemu Singapura. Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir.