PETALING JAYA, 23 Julai – Skuad Harimau Malaya akan mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Singapura dan Palestin sebagai persiapan menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos, Oktober ini.
Ketua Jurulatih Peter Cklamovski, memaklumkan bahawa perlawanan menentang Singapura akan diadakan pada 4 September, diikuti aksi kedua menentang Palestin pada 8 September.
Walaupun lokasi rasmi bagi kedua-dua perlawanan masih belum dimuktamadkan, beliau berharap agar ia dapat dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Saya menjangkakan kedua-dua perlawanan akan mencabar dalam cara yang berbeza. Ini merupakan peluang terbaik untuk kami menguji kekuatan pasukan menentang lawan yang berkualiti. Fokus kami adalah untuk mempamerkan aksi bertenaga, bermain secara agresif, dan membanggakan rakyat Malaysia." jelas beliau.
Pemilihan kedua-dua pasukan dibuat secara strategik, dengan Singapura yang kini berada di ranking ke-159 dunia dan Palestin di kedudukan ke-98.
Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pasukan kebangsaan menguji tahap taktikal serta ketahanan fizikal mereka.
Malaysia ketika ini menghuni ranking ke-125 dunia dan sedang mendahului Kumpulan F dengan enam mata.
Vietnam dan Laos masing-masing mengumpul tiga mata, manakala Nepal masih belum meraih sebarang mata.
Harimau Malaya akan menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober, diikuti perlawanan menentang Nepal pada 18 November, sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Vietnam pada 31 Mac tahun hadapan.