fb fb fb fb fb

Raducanu tewaskan Kostyuk, Williams catat kemenangan bersejarah di Mubadala DC Citi Open

Pemain tenis wanita British Emma Raducanu/foto Reuters

LONDON, 23 Julai - Emma Raducanu memulakan persiapan ke Terbuka Amerika Syarikat bulan depan dengan kemenangan meyakinkan ke atas pilihan ketujuh, Marta Kostyuk dalam pusingan pertama Kejohanan Mubadala DC Citi Open di Washington, lapor PA Media/dpa.

Beraksi buat kali pertama dalam acara perseorangan sejak mengheret pemain nombor satu dunia Aryna Sabalenka ke set penentuan di pusingan ketiga Wimbledon, Raducanu berjaya menundukkan pemain Ukraine ranking ke-27 dunia itu dalam perlawanan sengit 7-6 (7-4), 6-4.

Sementara itu, Venus Williams mencipta sejarah apabila menjadi pemain paling berusia memenangi perlawanan perseorangan di peringkat jelajah sejak lebih dua dekad lalu apabila menewaskan rakan senegara, Peyton Stearns.

Dalam perlawanan yang menyaksikan 10 kali pertukaran servis, Williams, 45, menang 6-3, 6-4 untuk menjadi pemenang paling berusia sejak Martina Navratilova, yang mencatat kemenangan pada usia 47 tahun pada 2004.

Ia merupakan kemenangan perseorangan pertamanya sejak Ogos 2023, sekali gus melayakkannya ke pusingan 16 terbaik untuk menentang pilihan kelima dari Poland, Magdalena Frech.

Juara tujuh kali kejohanan Grand Slam itu kembali beraksi selepas 16 bulan dengan kemenangan dalam acara beregu bersama Hailey Baptiste pada Isnin.

“Saya rasa ini satu kemenangan besar buat saya hari ini,” katanya kepada laman web WTA. “Ia bukan sesuatu yang mudah. Tiada yang mudah di sini. Jadi saya tahu saya perlu berjuang dalam setiap perlawanan, tetapi saya bersedia untuk itu.

“Tiada had untuk kecemerlangan. Semuanya bergantung kepada pemikiran dan sejauh mana kita sanggup berusaha.

“Jika kita berusaha dari segi mental, fizikal dan emosi, maka kejayaan itu boleh dicapai.”

Dalam kejohanan lelaki, Cameron Norrie mencatat kemenangan bermakna ke atas pilihan kedua dan pemain nombor tujuh dunia, Lorenzo Musetti untuk mara ke pusingan 16 terbaik.

Norrie, pemain ranking ke-41 dunia, bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 3-6, 6-2, 6-3, sekali gus mencatat kemenangan pertamanya ke atas pemain ranking 10 teratas sejak mara ke suku akhir Indian Wells pada 2023.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH