fb fb fb fb fb

Tour de France: Milan kuasai peringkat ke-17, Pogacar kekal jersi kuning

Jonathan Milan meraikan kemenangan pada peringkat ke-17 Tour de France pada Khamis / REUTERS

PERANCIS, 24 Julai - Pelumba Itali, Jonathan Milan meraih kemenangan kedua pada edisi Tour de France tahun ini selepas mengungguli pecutan peringkat ke-17 yang terganggu akibat insiden kemalangan besar, pada Khamis.

Milan muncul juara dalam pecutan 10 pelumba selepas sebahagian besar peloton terhalang berikutan kemalangan di laluan licin akibat hujan, hanya satu kilometer sebelum garisan penamat di tenggara Perancis.

Tadej Pogacar pula mengekalkan penguasaan keseluruhan dan terus menyarung jersi kuning selaku pendahulu.

Tiga pelumba iaitu Quentin Pacher dan Mathieu Burgaudeau dari Perancis serta pelumba Norway, Jonas Abrahamsen bersama Itali, Vincenzo Albanese cuba membuat pemisahan awal, namun gagal menyaingi kekuatan kolektif pasukan pelumba pecut.

Abrahamsen cuba melakukan kayuhan solo ketika berbaki 11 kilometer tetapi berjaya dikejar peloton 4.3 kilometer sebelum penamat.

Milan membuktikan kehebatannya dalam pecutan terakhir apabila menewaskan Jordi Meeus dari Belgium dan Tobias Lund Andresen dari Denmark, yang masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Hari ini, peringkat ke-18 bakal menjadi ujian getir dengan laluan berbukit antara Vif dan Col de la Loze, salah satu pendakian paling mencabar dalam sejarah Tour de France.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE