BASEL, 24 Julai - Jaringan cantik Aitana Bonmati pada masa tambahan memastikan Sepanyol mara ke final Euro Wanita buat pertama kali selepas menewaskan Jerman 1-0, pada Khamis.
Kemenangan itu menyaksikan Sepanyol akan bertemu juara bertahan, England, pada aksi penentuan Ahad ini (27 Julai) di Basel, mengulangi pertembungan final Piala Dunia 2023 yang menyaksikan Sepanyol muncul juara dunia buat kali pertama.
Bonmati memecah kebuntuan pada minit ke-113 apabila menerima hantaran di sebelah kiri, sebelum mengambil kesempatan daripada ruang yang ditinggalkan penjaga gol Jerman, Ann-Katrin Berger, untuk melepaskan rembatan kencang dari sudut sempit menewaskan lawan.
Sepanyol hampir mendahului pada babak pertama menerusi tandukan kapten, Irene Paredes yang terkena tiang, ketika mereka menguasai permainan. Skuad Jerman pula mengamalkan corak bertahan rapat sambil cuba melancarkan serangan balas pantas.
Pemain sayap Jerman, Klara Buehl hampir mengejutkan Sepanyol pada minit ke-63 tetapi rembatannya tepat ke arah penjaga gol Cata Coll.
Pertahanan ampuh Jerman menyukarkan usaha Sepanyol memecah kebuntuan sehingga hampir dihukum pada masa kecederaan apabila percubaan Buehl yang terkena defleksi hampir menghasilkan gol, namun diselamatkan Coll.
Menerusi rekod sembilan kemenangan dalam 10 aksi separuh akhir Euro, Jerman kelihatan mampu membawa perlawanan ke penentuan penalti, namun Bonmati memastikan sejarah baharu tercipta dengan gol berharga itu.-REUTERS