BARCELONA, 24 Julai - Penyerang England, Marcus Rashford menyertai Barcelona secara pinjaman semusim daripada Manchester United dengan pilihan pembelian, menurut pengesahan kedua-dua kelab, pada Khamis.
Menurut laporan media, Barcelona akan menanggung gaji Rashford sepanjang tempoh pinjaman selepas pemain itu bersetuju menerima pengurangan gaji, dengan nilai pilihan pembelian ditetapkan sekitar 30 juta euro.
Langkah itu diambil selepas Rashford, yang berasal dari Manchester dan telah membuat 426 penampilan serta menjaringkan 138 gol untuk United dalam semua kejohanan, tidak lagi mendapat kepercayaan pengurus Ruben Amorim yang mempertikaikan tahap komitmennya di padang.
Rashford, 27, yang pernah menjulang dua Piala FA, dua Piala Liga dan satu trofi Liga Europa bersama United, dipinjamkan ke Aston Villa pada Februari lalu selepas Amorim menyatakan lebih rela menurunkan jurulatih penjaga gol di bangku simpanan berbanding pemain yang tidak memberikan komitmen sepenuhnya.
Pemain yang telah menjaringkan 17 gol dalam 62 penampilan bersama skuad kebangsaan England itu berkata, perpindahan ke Barcelona adalah peluang terbaik memburunya untuk meraih kejayaan lebih besar.
“Saya mahu memenangi trofi terbesar dan Barcelona jelas sebuah kelab gergasi bola sepak dunia. Ini tempat terbaik untuk capai kemenangan besar,” katanya.
Dia turut memuji barisan muda skuad Barca, sambil menyatakan keyakinannya untuk memberi impak positif.
“Pasukan ini muda dan bercita-cita tinggi. Saya mahu menambah kualiti dan keperibadian saya untuk membantu mereka meraih kejayaan,” tambahnya.
Juara LaLiga, Barcelona, bakal mengadakan tiga perlawanan persahabatan pramusim di Jepun dan Korea Selatan bermula 27 Julai ini.-REUTERS