fb fb fb fb fb

WJC 2024: Aaron Tai-Kang Khai Xing dinobat sebagai juara

Foto FB BAM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Pasangan beregu lelaki remaja, Aaron Tai-Kang Khai Xing berjaya merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia (WJC) 2024, di Nanchang, China, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kembali meraih semula tempat di puncak podium dalam kategori beregu lelaki, selepas sedekad penantian.

Sebagai pilihan pertama kejohanan, Aaron-Khai Xing mencetak nama sebagai juara remaja dunia selepas mengharungi pertarungan tiga set yang mendebarkan selama 65 minit.

Mereka menentang pasangan tuan rumah yang juga pilihan kedua, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang.

Selepas ketinggalan 1-8 pada set pertama, Aaron-Khai Xing mencipta kebangkitan menakjubkan dengan kemenangan 21-18 dan keadaan menjadi sukar bagi mereka pada set kedua apabila tewas 15-21.

Namun, mereka akhirnya membawa pulang gelaran dengan kemenangan 21-18 dalam set penentuan.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memiliki juara dunia remaja dalam acara beregu lelaki adalah menerusi gandingan Nelson Heg-Teo Ee Yi pada edisi 2011 di Taoyuan, Taiwan.

Sementara itu, beregu wanita remaja negara, Zi Yu-Dania Sofea Zaidi terlepas peluang untuk meraih gelaran juara apabila tewas kepada pilihan keempat dari Jepun, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki 17-21, 17-21.

Walaupun tewas, pasangan bukan pilihan itu layak diberi pujian atas pencapaian cemerlang mereka dalam kejohanan besar pertama termasuk kejayaan mengejutkan pilihan utama dari China Chen Fan Shu Tian-Liu Jia Yue 16-21, 21-16, 21-17 di separuh akhir, semalam.

Keputusan hari ini menyaksikan Zi Yu-Dania mengulangi kejayaan Pearly Tan-Toh Ee Wei yang menjadi naib juara edisi 2018 di Markham, Kanada.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM