fb fb fb fb fb

Sze Fei-Izzudin, juara Terbuka Artik 2024

Foto FB BAM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mempamerkan prestasi cemerlang apabila menjuarai Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland, hari ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan pasangan itu menambah rekod gelaran ketiga tahun ini.

Aksi akhir berlangsung di Energia Areena, Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit daripada ketinggalan untuk menggagalkan harapan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen mempertahankan kejuaraan mereka dalam kejohanan Super 500 itu.

Pasangan nombor lapan dunia itu berjaya mengembalikan keyakinan selepas tewas 15-21 di set pertama.

Bangkit untuk menang 21-15 pada set kedua, kemudian mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam set penentuan, beregu negara ketinggalan empat mata pada 7-11 tetapi berjaya melakukan kebangkitan luar biasa untuk menyamakan kedudukan pada 16-16 sebelum smash padu Sze Fei menutup perlawanan dengan 21-19, sekali gus memastikan gelaran kelima dalam karier mereka.

Lebih manis, kemenangan hari ini membolehkan mereka melengkapkan koleksi gelaran di semua empat peringkat Jelajah Dunia (Super 300, Super 500, Super 750 dan Super 1000).

Kemenangan itu menyaksikan mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,180 (kira-kira RM142,192) manakala pasangan Denmark menerima AS$15,960 (RM68,396).

Ogos lalu, gandingan itu dinobatkan sebagai juara Terbuka Jepun 2024 diikuti dengan kemenangan di Terbuka China 2024, bulan lepas.

Sementara itu, pasangan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah terlepas peluang untuk memastikan gelaran kedua mereka tahun ini.

Pearly-Thinnah yang turun sebagai pilihan ketiga, tewas kepada juara bertahan dan pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 12-21, 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 57 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan Sheng Shu-Tan Ning berjaya membalas dendam selepas tewas 14-21, 14-21 kepada Pearly-Thinaah pada pusingan akhir Terbuka Hong Kong, bulan lepas.

Pasangan wakil China itu membawa hadiah wang tunai AS$33,180 (RM142,192) manakala beregu negara meraih AS$15,960 (RM68,396), selaku naib juara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM