fb fb fb fb fb

Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang terus nyala impian raih emas pertama

KUALA LUMPUR, 20 September- Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang, masing-masing meneruskan misi menamatkan penantian merangkul pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma), selepas mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir, pada isnin.

Pada saingan suku akhir yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Wilayah Persekutuan mengatasi cabaran Johor menerusi penentuan sepakan penalti 5-4, setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa tambahan.

Penjaga gol Wilayah Persekutuan Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin muncul wira pasukan, apabila menyelamatkan empat sepakan penalti Johor, sebelum beliau sendiri meledak sepakan kemenangan untuk membantu pasukan selangkah lagi, untuk menggenggam emas pertama dalam sejarah.


(Wilayah terlebih dahulu menjaringkan gol sebelum serangan bertali arus pasukan Johor
membuahkan hasil untuk gol penyamaan pada minit akhir separuh masa pertama)

Terdahulu, Muhammad Haqimi Azim Rosli memecah kebuntuan untuk meletakkan Wilayah Persekutuan di depan pada minit ke-14, namun Johor berjaya mencari jaringan penyamaan menerusi gol Mohamad Rafiefikri Mohd Rosman, pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Di pentas separuh akhir, Wilayah Persekutuan akan membuat perhitungan menentang Terengganu yang menjinakkan Perlis 3-0, pada satu lagi aksi suku akhir berlangsung di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.
 
Tiga gol Terengganu yang dijaringkan pada babak kedua perlawanan masing-masing disumbangkan Muhammad Muslihuddin 'Atiq Mat Zaid pada minit ke-48, Aqil Idham Bahari (minit ke-56) dan Muhammad Safwan Mazlan (minit ke-86).

Sementara itu, pada saingan suku akhir di Stadium Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Kajang, Pulau Pinang yang belum pernah memenangi emas, berjaya mengatasi Kelantan menerusi penentuan sepakan penalti 5-4, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa tambahan.

Namun, Kelantan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyudah Adam Danial Md Zaid pada minit ke-25, sebelum Pulau Pinang bangkit menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama hasil gol T. Saravanan.

Jaringan Dhia Ramadhan Badrulhisham meletakkan Pulau Pinang pula di depan pada minit ke-61, namun kedudukan itu tidak kekal lama, selepas Kelantan meledak gol kedua lapan minit berselang menerusi Nor Shami Irfan Talaha, sekali gus mengikat permainan sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Menanti Pulau Pinang di pentas separuh akhir adalah Selangor apabila pemenang emas edisi 1988 dan 1998 itu, turut mengesahkan kemaraan menerusi penentuan sepakan penalti menewaskan Pahang 7-6 setelah kedudukan 0-0, selepas masa tambahan di Stadium Universiti Malaya (UM) Arena di sini.

Kedua-dua perlawanan separuh akhir dijadual berlangsung Rabu ini.- BERNAMA

Media Baharu