fb fb fb fb fb

Wayne Rooney letak jawatan sebagai Pengurus Plymouth

Wayne Rooney meletakkan jawatan sebagai pengurus Plymouth Argyle selepas tujuh bulan mengemudi pasukan /Foto REUTERS

PLYMOUTH, 31 Disember – Bekas bintang Manchester United, Wayne Rooney, telah meletak jawatan sebagai pengurus kelab Plymouth Argyle selepas hanya tujuh bulan mengemudikan pasukan yang bergelut dalam Liga Kejuaraan Inggeris.

Rooney meninggalkan kelab itu selepas kekalahan 2-0 kepada Oxford pada Ahad lalu, yang menyaksikan Plymouth kekal di tangga tercorot liga.

Mereka kini dibezakan empat mata dari zon selamat dengan hanya mencatat empat kemenangan dan 13 kekalahan dalam 23 perlawanan liga sejak pelantikannya pada Mei.

Prestasi buruk Plymouth termasuk kekalahan besar 6-1 kepada Norwich serta tewas 4-0 kepada Bristol City dan Coventry, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap bekas kapten England itu.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada lembaga pengarah Plymouth,” kata Rooney.

“Terima kasih juga kepada semua staf yang menyambut saya dengan baik dan menjadikan kelab ini tempat yang istimewa, serta pemain dan penyokong atas usaha dan sokongan mereka sepanjang saya menjadi ketua jurulatih. Saya doakan yang terbaik untuk masa depan mereka.

“Kepada Green Army, terima kasih kerana menjadikan perlawanan di Home Park begitu istimewa. Ia adalah kenangan yang akan kita kongsi selama-lamanya.

"Plymouth Argyle akan sentiasa berada di hati saya, dan saya akan terus mengikuti perkembangan mereka,” tambah Rooney.

Sementara itu, dalam kenyataan di laman web rasmi kelab, Plymouth mengesahkan bahawa kelab dan ketua jurulatih Wayne Rooney telah bersetuju untuk berpisah secara rasmi dengan serta-merta.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Wayne dan pasukannya atas segala usaha mereka dan mendoakan kejayaan mereka pada masa hadapan", jelas kenyataan berkenaan.

Ini merupakan kegagalan terbaru dalam karier pengurusan Rooney yang berusia 39 tahun. Musim lalu, beliau dipecat oleh Birmingham selepas hanya 15 perlawanan dan kelab itu akhirnya tersingkir dari Liga Kejuaraan.

Rooney sebelum ini juga gagal menyelamatkan Derby County daripada penyingkiran selepas kelab tersebut dikenakan pemotongan mata akibat masalah kewangan dan pelanggaran peraturan liga.

Namun, beliau dipuji kerana mengemudi Derby bertarung hingga ke penghujung musim sebelum mengundurkan diri pada 2022.

Rooney turut pernah mengendalikan kelab DC United di Amerika Syarikat sebelum kembali ke England.

Dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik generasinya, Rooney merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Manchester United dan England sebelum rekod tersebut dipecahkan oleh Harry Kane pada 2023.

Sepanjang karier gemilangnya selama 13 tahun di Manchester United, Rooney memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara UEFA, Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga sebelum meninggalkan kelab itu pada 2017.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD