KUALA LUMPUR, 31 Disember- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan bekas pemain antarabangsa Kanada, Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan.
Rob Friend, yang bakal berusia 44 tahun pada Januari depan, membawa pengalaman luasnya sebagai pemain bola sepak profesional serta pengurus, dalam memperkasa Harimau Malaya.
Beliau pernah beraksi di posisi penyerang bersama kelab terkemuka seperti Moss FC dan Molde FK di Norway, Borussia Monchengladbach serta Hertha Berlin di Jerman, selain LA Galaxy di Amerika Syarikat.
Dalam arena antarabangsa, Friend mencatat 32 penampilan bersama skuad kebangsaan Kanada dari 2003 hingga 2011.
Selepas bersara pada 2014, Rob Friend beralih ke bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak.
Beliau merupakan salah seorang pengasas Liga Perdana Kanada (CPL), yang berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari sifar kepada AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
Selain itu, beliau pernah memegang jawatan CEO di Pacific FC dan Presiden di Vancouver FC, dua kelab yang bertanding dalam CPL.
Friend juga terlibat secara langsung dalam pelbagai aspek strategik termasuk pembangunan stadium, pusat latihan, pengurusan pemain, pelantikan jurulatih serta rundingan penajaan.
Pengalaman tersebut dijangka memberikan impak besar dalam menguruskan program pasukan kebangsaan, khususnya skuad senior dan B-23 negara.
Beliau akan memulakan tugas secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025, dengan visi membentuk pasukan kebangsaan yang lebih mantap melalui struktur organisasi baharu yang lebih efisien dan berkualiti.