fb fb fb fb fb

Warner Music Malaysia rakan penaja muzik rasmi Harimau Malaya

Dari kiri Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura Dinesh Ratnam dan Pengarah A&R Warner Music Malaysia Raqeem Brian

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Warner Music Malaysia (WMM) sebagai rakan penaja muzik rasmi bagi pasukan Harimau Malaya.

Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden FAM Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bersama-sama Pengarah Urusan WMM Dinesh Ratnam.

Perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Hj Rahman dan Pengarah A&R WMM Raqeem Brian.

Kerjasama tersebut akan dimulakan dengan projek pertama iaitu penghasilan lagu rasmi bola sepak untuk Harimau Malaya.

Dalam ucapannya, Mohd Yusoff meluahkan keterujaan terhadap jalinan kerjasama antara FAM dan WMM.

Beliau menyatakan bahawa muzik memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat dan keterujaan dalam sukan bola sepak.

"Muzik adalah elemen penting yang mampu menghubungkan generasi demi generasi. Saya teruja untuk melihat bagaimana lagu rasmi ini akan menarik perhatian rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda dari pelbagai latar belakang dan kaum," katanya.

Beliau turut berharap lagu rasmi tersebut dapat menaikkan semangat pemain Harimau Malaya ketika mereka turun beraksi dalam perlawanan akan datang.

"Saya percaya gabungan bola sepak dan muzik mampu mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk semua penyokong Harimau Malaya," tambahnya.

Pengarah Urusan WMM, Dinesh Ratnam, turut berkongsi keterujaannya dengan kerjasama itu dan menyatakan bahawa bola sepak merupakan sukan yang sangat diminati rakyat Malaysia.

"Kami di Warner Music Malaysia sangat bangga menjadi rakan penaja muzik rasmi pertama untuk FAM. Ini adalah peluang yang baik bagi kami untuk menunjukkan komitmen dalam menyokong kedua-dua industri sukan dan muzik di Malaysia," katanya.

TETITIA YUSOFF