KUALA LUMPUR, 3 Febuari- Harapan kini disandarkan kepada pemain skuad Harimau Muda Bawah 23, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal untuk menambah 'sengat' Malaysia.
Ini susulan ketiadaan penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsuddin dalam senarai skuad itu pada kempen Piala AFF U23 2022 di Kemboja bulan ini.
Ketua Jurulatih, Brad Maloney berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia ketika ini sedang cuba menyelesaikan isu dengan Wan Ahmad Kuzri memandangkan pemain tersebut berdepan masalah peribadi di Amerika Syarikat.
Ditemui ketika mengendalikan sesi latihan pusat semalam, Maloney menjelaskan beliau telah menghubungi Wan Ahmad Kuzri yang melahirkan minatnya untuk menyertai skuad B-23 negara.
"Namun, apa yang menjadi masalah ialah pemain berusia 19 tahun itu kini kesuntukan masa untuk menyertai kem Harimau Muda dalam masa terdekat," katanya.
"Saya inginkan Wan Ahmad Kuzri turut serta dalam pasukan ini. Sejujurnya kami mula melihat potensinya sejak dua tahun lalu dan mahu memberikannya peluang menyertai pasukan," jelasnya lagi.
Kali terakhir pemain dari akademi St. Louis FC itu menyertai kem latihan pusat ialah ketika bersama pasukan kebangsaan Bawah 19 Tahun negara pada Ogos 2020.
Maloney juga berkata kejohanan di Kemboja nanti akan menjadi medan terbaik buat anak buahnya menyesuaikan diri dengan falsafah permainan beliau.
Jurulatih berusia 50 tahun itu turut memaklumkan, pasukannya akan melakukan persiapan dengan menentang Sabah FC pada 5 Februari sebelum bertemu Kuala Lumpur City FC pada 10 Februari.