(Sumber: JDT TV)
KUALA LUMPUR, 3 Febuari- Juara 8 kali Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) mengalami kekalahan pertama dalam siri jelajah pra musim di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pasukan itu tunduk 0-2 di tangan kelab Divisyen Dua Rusia, Rodina Moscow pada aksi keempat persahabatan malam tadi.
Pada aksi di Pusat Bola Sepak Jebel Ali itu, JDT dilihat beraksi dengan baik apabila melakukan beberapa serangan berbahaya ke arah pintu gol Rodina.
Bagaimanapun, kelekaan barisan pertahanan menyaksikan skuad Harimau Selatan itu bolos 2 gol mudah di babak pertama.
Meskipun cuba bangkit mencari gol penyamaan, jentera serangan JDT tetap gagal menghasilkan sebarang gol sehingga wisel penamat babak kedua ditiupkan.
Ini kekalahan pertama skuad kendalian Benjamin Mora itu sepanjang 4 aksi pra musim di UAE.
Mereka sebelum ini seri 2 sama dengan kelab Slovakia, MSK Zilina pada 25 Januari, sebelum menang 1-0 ke atas kelab UAE, Shabab Al Ahli dua hari kemudian dan seri 1 sama dengan kelab Latvia, Riga FC pada 29 Januari.
Selepas ini, JDT dijadual menamatkan siri jelajah pra musim mereka di UAE dengan menentang kelab terkenal Rusia, Spartak Moscow, Sabtu ini.