fb fb fb fb fb

Wai Ching idam pertahan gelaran bakal sertai larian menara di Dubai



KUALA LUMPUR, 2 Februari- Jaguh Larian Menara nombor satu Asia, Soh Wai Ching optimis untuk mengekalkan kejuaraan yang dikecapinya dua tahun lalu dalam pertandingan Media One Hotel Tower Run yang akan berlangsung di Dubai.

Wai Ching berkata, pertandingan yang bakal dilangsungkan Sabtu ini bakal disertai lebih 500 atlet dari serata dunia.

Pertandingan ini juga dilihat sebagai satu persiapan baginya untuk menyertai pertandingan Kejohanan Kebangsaan Amerika Syarikat di Las Vegas, pada 27 Februari ini.

"Persiapan bagi saya sekarang semua berjalan lancar, saya akan bergerak ke Dubai Jumaat ini, dan akan memulakan pertandingan keesokan harinya".

"Persiapan saya sebenarnya memang sudah bermula sejak bulan lepas semasa saya pulang ke Malaysia penghujung Disember lalu, habis sahaja kuarantin latihan memang terus dilakukan, saya tidak tunggu lama," katanya selepas menjadi tetamu Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri

Wai Ching juga berharap dapat mencipta rekod dunia baharu dalam kejohanan di Menara Berkembar Petronas yang masih dalam perbincangan dan akan berlangsung Mei nanti.

Sebagai pengasas Malaysia Tower Running Association, Wai Ching berharap untuk membawa nama negara ke persada antarabangsa sekali gus mempromosikan sukan larian menara agar dapat memupuk minat sukan itu dalam kalangan rakyat Malaysia dan luar negara.

Media Baharu