MELAKA, 2 Februari- Melaka United FC-MUFC terus rancak mempersiap pasukan bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia.
Terbaharu kelab tersebut menyambar pemain berpengalaman, Nurshahrul Idlan Talaha yang bakal memperkuat jentera serangan.
Nurshahrul atau Mat Yo menyertai Melaka selepas semusim bersama Sarawak United FC.
Musim lalu dia membantu pasukan Sarawak United muncul naib juara Liga Premier sekali gus meraih tiket beraksi di Liga Super 2022.
Pemain berusia 35 tahun itu pernah beraksi di Liga Thailand bersama pasukan BG Pathum United pada musim 2020 selain mempunyai pengalaman bersama beberapa kelab tempatan seperti JDT, Pahang, ATM, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Felda United
Mat Yo juga telah membuat lebih 80 penampilan bersama Skuad Kebangsaan dengan 14 gol di peringkat antarabangsa.
Kehadirannya dalam skuad Hang Tuah mampu membantu menajamkan jentera serangan pasukan itu yang turut dibarisi oleh 3 penyerang import berbisa seperti Ifedayo Olusegun, Sony Norde, dan Emmanuel Oti.