KUALA LUMPUR, 5 Mei - Pelari menara nombor satu negara, Soh Wai Ching meraih kejuaraan dunia sulungnya selepas menawan Menara Taipei 101 di Taiwan pada saingan The Towerrunning World Championships yang berlangsung pada Sabtu.
Atlet berusia 30 tahun itu, melakukan catatan masa 11:35.61s saat pada larian pertama dan 7:1.01s pada larian kedua untuk meraih gelaran pada saingan edisi ke-3 itu.
"Saya sangat gembira kerana dapat memenangi kejuaraan dunia ini selepas enam tahun. Kejohanan sebelum ini berlangsung pada 2018. Ia kemudian sepatutnya berlangsung pada 2020 tetapi akibat pandemik COVID-19 ia terpaksa ditangguh. Saya telah lama menantikan saat-saat ini dan akhirnya saya berjaya," katanya.
Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia, Ravinder Singh dalam kenyataan berkata Malaysia telah meraih pencapaian signifikan dalam sukan itu selepas Wai Ching dinobatkan sebagai Juara Dunia yang baharu.
"Perjalanan ke puncak menjadi bukti kepada dedikasi dan sikap konsistennya, dalam kemuncak kerjayanya sejak 2020. Selepas empat tahun mengekalkan prestasi cemerlangnya, beliau telah merangkul kejayaan tertinggi sukan ini," katanya.
Wai Ching melakukan larian setinggi 91 tingkat pada larian pertama dan 59 tingkat pada larian kedua.
Secara keseluruhan, pelari menara nombor satu dunia itu mencatat 18 minit dan 36.62 saat meninggalkan pencabar utama, Ryoji Watanabe di tempat kedua.