fb fb fb fb fb

Vinirsa menyerlah di kejohanan Southern Slam

Perlawanan akhir menyaksikan Virnisa menumpaskan rakan senegara, Sashana Istritharan. - Foto SRFi

CHENNAI, 6 Jun – Bintang muda skuasy Malaysia, Vinirsa Hari Haran, terus mencuri perhatian apabila muncul juara kategori Perempuan Bawah 11 Tahun (GU11) dalam Kejohanan Southern Slam Chennai 2025, di India yang berlangsung dari 2 hingga 6 Jun.

Diletakkan dalam kelompok pilihan kelima hingga kelapan dalam kejohanan yang menghimpunkan 380 penyertaan dari Malaysia, India dan Sri Lanka itu, Vinirsa menampilkan aksi memberangsangkan.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Indian Squash & Triathlon Academy, atlet muda negara itu bertemu dengan rakan senegara, Sashana Istritharan.

Meskipun tewas dua set pertama 1-11, 11-13, Vinirsa bangkit semula untuk mencatat kemenangan dramatik dalam tiga set terakhir – 11-7, 11-9, 11-9 – sekali gus merangkul gelaran juara.

Terdahulu, Vinirsa melakar kejutan di peringkat suku akhir, apabila menewaskan pilihan utama kategori tersebut, Arunima Chaubey dari India, dengan keputusan 4-11, 11-6, 11-8, 11-3.

Beliau meneruskan aksi bertenaga di separuh akhir dengan menewaskan seorang lagi wakil India, Sameeksha Sugumar, secara straight set, 11-3, 11-1, 11-6.

Kemenangan pemain kelab skuasy Kuala Lumpur itu jelas hadir dengan pengalaman diraih menerusi beberapa kejohanan penting yang disertai awal tahun ini.

Antaranya, saingan CIMB Rising Star National Junior Circuit (RSNJC) dan SRAM National Junior Championships 2025 pada Februari lalu.

Pencapaian di Chennai membuktikan peningkatan ketara Vinirsa, sekali gus menjadikannya pemain pelapis skuasy negara yang wajar diberi perhatian.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK