fb fb fb fb fb

Vietnam buka tirai Sukan SEA ke-31 dengan penuh gaya

(Sukan SEA 2021 Hanoi dibuka secara rasmi bermula hari ini sehingga 23 Mei)

HANOI, 13 Mei- Selepas mengharungi pelbagai rintangan termasuk ditangguh kerana pandemik COVID-19, temasya sukan terbesar Asia Tenggara Sukan SEA Ke-31 dengan tema “Untuk Asia Tenggara Yang Lebih Kukuh” akhirnya membuka tirai secara rasmi di sini malam ini.

Tuan rumah, Vietnam mempersembahkan acara pembukaan yang memukau mata memandang menerusi warna, cahaya dan bunga api yang bersemarak di Stadium Nasional Ny Dinh di sini, enam hari selepas acara pertama dipertandingkan, iaitu bola sepak.

Temasya sukan dwitahunan yang berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini dibahagikan kepada tiga segmen, iaitu “Vietnam Yang Ramah”, “Asia Tenggara Yang Kuat” dan “Asia Tenggara Yang Menyinar” ,  dimulai  dengan acara tabik hormat kepada bendera Vietnam dan nyanyian lagu kebangsaan tuan rumah.

Kemudian, penonton disajikan dengan satu siri tarian tradisional Vietnam - Tarian Teratai, “Dong Ho Folk Woodcut Painting” dan  “Way to Vietnam”, yang berlangsung selama 30 minit.

Penonton memenuhi stadium yang boleh memuatkan 40,000 itu menyambut dan meraikan 11 negara peserta dengan tepukan bergemuruh sebaik sahaja barisan atlet dan pegawai kontinjen masuk ke stadium mengikut aturan abjad dimulai dengan Brunei dan Malaysia merupakan kumpulan kontinjen kelima berbuat demikian. 

Setiap kontinjen dihadkan kepada 31 orang semasa perbarisan bagi mematuhi protokol COVID-19.

Sejumlah 30 peserta mewakili Kontinjen Malaysia pada malam ini, termasuk pembawa bendera Jalur Gemilang, Nur Dhabitah Sabri, Chef de Mission (CDM) Datuk Nur Azmi Ahmad dan dua timbalannya Melvin Chia dan Afrita Ariany Nasril.

(Sukan serantau ini pada asalnya dijadualkan berlangsung November lepas
tetapi terpaksa ditangguh akibat pandemik COVID-19)


Nur Dhabitah, merupakan atlet terjun yang memenangi pingat emas sulung negara dalam Sukan SEA Hanoi dalam acara satu meter papan anjal individu wanita, Ahad lepas (8 Mei).

CDM dan Nur Dhabitah menggayakan busana tradisional Melayu, masing-masing diberi nama Pendekar Melayu dan Puteri yang menggabungkan warna biru, merah, kuning dan putih sebagai simbolik kepada Jalur Gemilang lengkap dengan tanjak dan sanggul lintang.

Sementara atlet Malaysia dan pegawai memakai baju-T korporat yang sedondon dengan corak kepala harimau mengaum sebagai simbol semangat juang yang kental dan keberanian Raja Rimba memburu mangsanya.

Temasya sukan serantau ini dirasmikan oleh Presiden Vietnam Nguyen Xuan Phuc Quach, diikuti dengan bacaan ikrar oleh pengadil Phan Thi Ngoc Linh sebelum pelari pecut dan lompat pagar Vietnam Quach Thi Lan diberikan penghormatan menyalakan kawah api kejohanan.

Kemudian ia diikuti dengan nyanyian bersemangat lagu tema Sukan SEA kali ini “Hay Toa Sang” sebelum persembahan bunga api yang menerangi langit Hanoi.  

Sukan SEA kali ini merupakan pentas pelancaran bagi atlet Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung dua bulan lagi dan Sukan Asia Hangzhou 2022 yang ditangguhkan, sebelum memulakan misi membawa pulang pingat emas impian di Sukan Olimpik Paris 2024.

Malaysia menyasarkan 36 emas, 35 perak dan 75 gangsa yang dikatakan sangat rendah jika dibandingkan dengan jumlah atlet dihantar ke Hanoi sementara lebih separuh daripada sukan yang dipertandingkan adalah acara Sukan Olimpik. 

Sejumlah 526 emas daripada 40 sukan ditawarkan dalam edisi ke-31 Sukan SEA yang berlangsung di Hanoi dan 11 wilayah di sekitarnya  dengan 10,000 atlet dari 11 negara bersedia mempamerkan bakat mereka.

Sukan serantau ini pada asalnya dijadualkan berlangsung November lepas tetapi terpaksa ditangguh akibat pandemik COVID-19.

Ini adalah kali kedua Vietnam menjadi tuan rumah Sukan SEA, edisi 2003 dihoskan bersama Hanoi dan Ho Chi Minh City.-BERNAMA

Media Baharu