FUSCHL, 1 Ogos- Juara dunia Formula Satu (F1) empat kali, Max Verstappen menamatkan spekulasi mengenai perpindahannya ke Mercedes musim depan dengan mengesahkan buat pertama kali pada Khamis bahawa beliau akan terus bersama pasukan Red Bull.
F1 bakal memasuki era enjin baharu tahun depan yang dijangka mengubah kedudukan pasukan, dengan Mercedes diramal mendominasi manakala Red Bull membangunkan unit kuasa sendiri selepas berpisah dengan Honda.
Juara bertahan itu memiliki klausa keluar dalam kontraknya, namun ia tidak diaktifkan setakat ini.
Verstappen, 27, kini berada di kedudukan ketiga dalam carta keseluruhan Kejuaraan Dunia F1 2025 selepas mencatat dua kemenangan daripada 13 perlumbaan.
Walaupun khabar angin mengenai perpindahan itu bertebaran, komuniti F1 secara meluas menjangkakan Verstappen kekal bersama Red Bull, dengan spekulasi kini beralih kepada kemungkinan perpindahan pada 2027 apabila klausa prestasi kembali terpakai.
Kontrak Verstappen bersama Red Bull sah sehingga 2028.
Pemecatan Christian Horner sebagai Ketua Pasukan Red Bull awal bulan ini turut dilihat sebagai langkah syarikat minuman tenaga itu untuk meyakinkan pemandu paling diingini dalam sukan itu agar kekal.
Sementara itu, Ketua Pasukan Mercedes, Toto Wolff minggu lalu menegaskan keutamaan mereka adalah mengekalkan barisan pemandu sedia ada, George Russell dan pelumba muda Itali, Kimi Antonelli. -REUTERS