KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Skuad boling remaja negara sah muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Remaja Asia ke-24 di Doha, Qatar selepas menambah tiga lagi pingat emas semalam.
Berbaki dua lagi kategori yang dipertandingkan iaitu Masters lelaki dan wanita, pasukan Malaysia nyata sukar dicabar oleh mana-mana negara apabila mengutip lima pingat emas dan empat gangsa keseluruhan.
Pada aksi semalam, pasukan negara turut mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kali berjaya memenangi acara berpasukan lelaki dan wanita di kejohanan itu.
Dalam acara berpasukan wanita, Malaysia yang dibarisi Qurratu'ain Izdihar Pozi, Adelia Nur Syazalee, Intan Nor Azliman dan Natalie Chong berjaya meraih pingat emas selepas mencatat 4,775 jatuhan pin dalam 24 permainan yang berlangsung selama dua hari.
Pingat perak dimenangi pasukan Taiwan dengan 4,563 jatuhan pin manakala pasukan Malaysia B yang terdiri daripada Nursyarafana Amri, Nurul Dayana Suhaidan, Helena Jamal dan Balqis Nurdini Khairul mencatat 4,456 jatuhan pin bagi merebut pingat gangsa.
Sementara itu dalam acara berpasukan lelaki, Sayed Abdullah, Hafiz Azhlan, Muhammad Aqil Faizal dan Wan Muhammad Zarif Mazlan menewaskan cabaran sengit dari Kuwait untuk menang dengan kelebihan hanya dua jatuhan pin apabila mencatat jumlah keseluruhan 5,198.
Tempat ketiga dimenangi Qatar dengan mengumpul 5,052 jatuhan pin.
Dalam pada itu, Qurratu’ain terus cemerlang apabila muncul juara keseluruhan individu wanita (all-events) selepas mengumpul 3,805 jatuhan pin sekali gus meraih emas keempat peribadinya di kejohanan itu.
Tempat kedua menjadi milik Huang Hsin Teng dari Taiwan (3,559), diikuti Intan dari Malaysia di tempat ketiga dengan 3,555 jatuhan pin.
Bagi kategori keseluruhan individu lelaki, Aqil menambah satu lagi pingat ke dalam koleksinya apabila memenangi gangsa dengan 3,921 jatuhan pin, di belakang Nasser Alkandari dari Kuwait (4,037) dan Abdulrahman Al Doseri dari Qatar (3,960). - BERNAMA