ISTANBUL, 1 Ogos – Juara Liga Super Turki, Galatasaray, mengumumkan telah menandatangani penyerang prolifik Nigeria, Victor Osimhen, secara kekal dari kelab Serie A, Napoli, dengan nilai perpindahan sebanyak €75 juta (kira-kira RM380 juta).
Perpindahan itu sekali gus menjadikan Osimhen sebagai pemain termahal dalam sejarah bola sepak Turki, memecahkan rekod terdahulu yang dipegang oleh Fenerbahce, yang menandatangani Youssef En-Nesyri dari Sevilla dengan nilai €20 juta pada Julai tahun lalu.
Menurut Galatasaray, 10 peratus daripada keuntungan perpindahan masa depan Osimhen akan diberikan kepada Napoli sebagai sebahagian perjanjian.
Pemain berusia 26 tahun itu akan menerima gaji bersih sebanyak €15 juta bagi setiap musim, selain bonus kesetiaan €1 juta setahun dan bayaran hak imej sebanyak €5 juta, sebagai pampasan atas penggunaan nama, rupa dan imej beliau dalam penjenamaan serta aktiviti promosi kelab.
Napoli turut mengesahkan terma perpindahan tersebut dalam kenyataan berasingan.
Osimhen sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan kekal dari Napoli tahun lalu, namun rundingan itu gagal dimuktamadkan pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas.
Beliau kemudian menyertai Galatasaray secara pinjaman untuk musim 2024–25, dan tampil cemerlang dengan 37 gol dan 8 bantuan jaringan dalam 41 perlawanan, membantu kelab itu menjulang kejuaraan liga ke-25 mereka. - REUTERS