MARSEILLE, 1 Ogos- Olympique Marseille menandatangani semula bekas penyerang Arsenal, Barcelona dan Chelsea, Pierre-Emerick Aubameyang menerusi perpindahan percuma, umum kelab Ligue 1 itu pada Khamis.
Selepas semusim beraksi di Arab Saudi, penyerang berusia 36 tahun itu kembali ke Marseille, selepas kali pertama menyertai kelab tersebut secara percuma pada 2023.
Pemain kelahiran Perancis yang mewakili Gabon itu sebelum ini menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab baharu Liga Pro Saudi, Al-Qadsiah pada Julai 2024, namun menamatkan kontrak tersebut awal bulan ini.
Aubameyang menutup musim 2023-24 dengan 30 jaringan dalam semua kejohanan.
Ini sekali gus menjadi pemain Marseille pertama mencapai rekod itu sejak Didier Drogba dua dekad lalu. -REUTERS