KUALA LUMPUR, 31 Julai – RCB, jenama terkemuka komponen prestasi motosikal, terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan bakat sukan permotoran negara dengan menganjurkan sesi bersama dua pelumba muda berbakat, Hakim Danish dan Qabil Irfan Azlan, di Ekues Cabin Café, hari ini.
Acara santai yang dianjurkan bersama ZK Racing Team itu memberi peluang wakil media mendalami nilai serta perjalanan peribadi dua pelumba yang kini mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Hakim Danish, yang kini menduduki tangga ketujuh Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP dengan 51 mata, turut mengetuai kedudukan keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup dengan 154 mata. Manakala Qabil Irfan pula cemerlang di peringkat tempatan dan antarabangsa apabila mendahului Kejohanan ESBK dengan 173 mata serta mengungguli siri FIM MiniGP Malaysia dengan 150 mata.
Pengurus Besar RCB, Marcus Leong berkata, pelaburan RCB dalam pembangunan atlet sukan permotoran adalah usaha jangka panjang yang bukan sahaja menyokong impian pelumba muda, malah memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menjadi penunggang yang lebih bertanggungjawab.
“Kami berbangga dapat menyokong bakat muda seperti Hakim dan Qabil dalam mengejar impian mereka di pentas antarabangsa. Usaha ini juga memberi peluang untuk mendekati golongan muda dan menyuntik inspirasi agar mereka menjadi contoh kepada rakan sebaya,” katanya.
RCB turut memainkan peranan aktif dalam pelbagai platform perlumbaan berprestij termasuk MotoGP, Asia Road Racing Championship (ARRC), PETRONAS Malaysian Cub Prix dan MiniGP. Tahun ini, RCB tampil sebagai penaja utama RCB MiniMoto Championship, program pembangunan penting untuk pelumba muda yang dilaksanakan bersama ZK Racing.
Selain itu, sesi ini turut mengiktiraf kerjasama SUOMY Helmet sebagai penaja rasmi topi keledar Qabil Irfan yang menyediakan perlindungan berkualiti tinggi demi keselamatan dan prestasi perlumbaannya.
RCB percaya ekosistem pembangunan tersusun melalui MiniMoto dan MiniGP mampu melahirkan pelumba profesional negara yang bakal mewarnai arena MotoGP dunia, sekali gus menyumbang secara bermakna kepada masa depan sukan permotoran Malaysia.