fb fb fb fb fb

Venue wushu Sukma kurang sesuai untuk pertandingan - Chong

(FOTO fail BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Penggunaan Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil sebagai venue pertandingan wushu bagi Sukan Malaysia (Sukma) bermula 16 hingga 24 Sept ini dilihat kurang sesuai dan mempunyai beberapa kekangan.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt berkata ia kerana venue itu yang merupakan tempat latihan skuad kebangsaan tidak mempunyai ruang cukup besar untuk penganjuran pertandingan, lebih-lebih lagi jika melibatkan penonton.

“Untuk menganjurkan pertandingan, kita akan hadapi masalah teknikal, seperti perlukan bilik mesyuarat, teknikal, rehat dan tempat duduk penonton. Pada pendapat saya, bagi peringkat profesional, tempat ini adalah untuk latihan, bukan untuk pertandingan.

“Tetapi memandangkan Sukma kali ini berbeza dan dianjur selepas pandemik COVID-19, kita bersikap positif dan gembira kerajaan tetap menganjurkan temasya ini walaupun berdepan pelbagai kesulitan,” katanya ketika ditemui pada sesi pemilihan untuk Kejohanan Dunia Remaja di venue berkenaan.

Beliau berjanji bahawa pihak WFM akan bekerjasama dengan MSN selaku penganjur edisi ke-20 Sukma, untuk menjayakan temasya tersebut.

Sementara itu, Chong berkata WFM juga telah mula mengorak langkah untuk melahirkan pemenang pingat di Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2026 di Dakar, Senegal apabila empat acara wushu bakal dipertandingkan buat julung kali pada temasya itu.

(Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt/FOTO fail BERNAMA)

Beliau berkata pemilihan hari ini yang disertai 44 atlet dari sembilan negeri bagi disiplin taolu dan sembilan atlet mewakili tiga negeri bagi sanda turut digunakan sebagai medan mengenal pasti atlet muda untuk YOG.

“Ia bagaikan satu impian tercapai apabila wushu dimasukkan dalam YOG dan mungkin dalam Sukan Olimpik tak lama lagi. Hari ini, kami dapat mengumpulkan atlet seawal usia 9 tahun, yang bukan hanya mewakili negara ke Kejohanan Remaja Dunia, tetapi juga ke YOG dan bakal menyertai skuad pelapis kebangsaan.

“Kami berharap atlet yang bakal dipilih dapat membawa pulang pingat, kalau boleh emas dari YOG dan Kejohanan Remaja Dunia, yang secara tradisinya kita akan mencapai keputusan yang membanggakan, jadi kita yakin dengan atlet kita untuk pulang dengan kejayaan,” katanya.

Beliau berkata seramai 12 atlet (enam lelaki, enam wanita) akan dipilih untuk menyertai Kejohanan Remaja Dunia bermula 2-10 Dis ini di Tangerang, Indonesia.
- BERNAMA

Media Baharu