IPOH, 10 Mei- Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Santapan Makan Malam sempena Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-30 di Ipoh.
Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, pembesar negeri dan ketua jabatan.
Majlis turut dihadiri Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subhan Kamal dan Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Datuk Tayyab Ikram.
Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP), Datuk Sayuti dalam sembah ucapannya berkata keberangkatan Tuanku Zara ke majlis tersebut membuktikan keyakinan dan dedikasi baginda terhadap pembangunan sukan hoki tanah air.
Ia menjadi satu perangsang dan akan meningkatkan lagi semangat pihaknya untuk menumpukan usaha dengan lebih giat lagi demi kepentingan dan kemajuan sukan tersebut.
Pada majlis itu juga, baginda berkenan menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada barisan penaja dan pihak yang terlibat dalam penganjuran kejohanan tersebut.
Kira-kira 500 tetamu hadir ke majlis itu merangkumi pemain, jurulatih, pegawai pasukan setiap negara yang bertanding, ketua jabatan serta wakil agensi kerajaan negeri.