KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Pasukan Terengganu Cycling Team-TSG menerima suntikan tajaan berjumlah RM2 juta bagi menghadapi saingan musim 2024.
Tajaan diterima daripada anak syarikat milik kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc).
Tajaan tersebut turut melibatkan anak-anak syarikat kumpulan berkenaan yang disalurkan dalam bentuk kewangan dan barangan pada musim ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sejak lapan tahun lepas sehingga kini, pihaknya sentiasa yakin TSG mampu memberi impak besar terhadap penjenamaan kumpulan itu di peringkat antarabangsa.
Pada tahun 2023 pihaknya memperuntukkan RM2 juta dan RM1.5 juta ringgit pada tahun 2022.
"Sumbangan kita sebanyak RM2 juta untuk musim 2024/2025 dalam bentuk wang tunai, barangan dan perkhidmatan. Jadi, insya-Allah kita dah banyak tahun bersama-sama dengan TSG dan ini adalah satu pencapaian kita jugalah untuk sama-sama membangunkan dan mengekalkan kecemerlangan sukan berbasikal di negeri Terengganu,"katanya.
Sementara itu bagi Ketua Pegawai Eksekutif TSG Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood, pihaknya sentiasa optimis dalam misi memburu kejuaraan dalam pelbagai kejohanan yang disertai.
Ini termasuklah perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi-LTdL 2024 yang dijadual berlangsung 29 September hingga 6 Oktober depan.
Pasukan TSG yang berpengkalan di Kuala Terengganu menamatkan musim 2023 dengan cemerlang apabila mempertahankan gelaran juara Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tiga tahun berturut-turut selain dinobatkan pasukan benua terbaik.
"Sebagai mana sedia maklum, apabila pasukan TSG menamatkan saingan selaku juara asia, maka tahun 2024 ini kita akan menerima banyak jemputan dari penganjur-penganjur seluruh asia termasuk di peringkat eropah.
"Insya-Allah kita akan pergi ke Tour of Turkiye nanti, bagi tahun 2024 kita dapat mengumpul sebanyak RM11 juta,"katanya.
Mereka ditemui selepas Majlis Perjanjian Tajaan oleh Kumpulan Terengganu Inc bertempat di Batu Burok, Kuala Terengganu.