LONDON, 7 Mac- Jordan Henderson akui dirinya dalam fasa terbaik untuk membantu skuad utama England dalam Kejohanan Euro 2024 yang bermula 14 Jun ini.
Prestasinya di Ajax Amsterdam diharap dapat memikat pengendali Gareth Southgate, untuk mendapat tempat dalam pasukan berkenaan.
Henderson menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Ettifaq dari Liverpool pada Julai sebelum menamatkan kontraknya dan menandatangani kontrak dengan pasukan Belanda itu pada Januari.
Pengurus England, Southgate berada di tempat penonton di Arena Johan Cruyff bulan lalu apabila pemain tengah berusia 33 tahun itu membuat penampilan sulung Ajax ketika seri 1-1 dengan PSV Eindhoven dalam liga Belanda.
“Senang melihat dia (Southgate) memerhatikan saya,” kata Henderson kepada pemberita pada hari Rabu menjelang perlawanan pusingan 16 terakhir Liga Persidangan Europa Ajax menentang Aston Villa.
“Saya perlu fokus pada tugas saya di sini dan jika saya melakukannya dengan baik dan beraksi dengan baik maka itu memberi saya peluang terbaik untuk menyertai skuad England.
"Saya pasti rasa saya boleh menawarkan sesuatu kepada pasukan kebangsaan. Sudah tentu saya rasa saya boleh membantu skuad dan pasukan ke hadapan dalam kem seterusnya dan semoga pada musim panas," tambahnya.
Skuad The Three Lions itu diundi bersama Slovenia, Denmark dan Serbia pada Euro 2024.- REUTERS