fb fb fb fb fb

TNB tebus kekecewaan untuk muncul juara

TNB muncul juara selepas menewaskan pasukan THT menerusi penentuan shoot-out 3-1 selepas kedua- dua pasukan terikat seri 2-2/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Februari - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menebus kekecewaan dua musim berturut-turut apabila berjaya menjulang Piala Sumbangsih tahun ini dalam permulaan musim Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.

TNB melakar kemenangan itu selepas mengatasi juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT) 3-1 menerusi penentuan penalti di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kedua-dua pasukan sebelum itu 2-2 selepas masa penuh 60 minit perlawanan.

Pada aksi malam tadi, TNB berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti dihasilkan Jang Jong Hyun.

TNB terus selesa di depan selepas Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menggandakan jaringan pada minit ke-24.

Namun dalam tempoh kurang seminit, THT marapatkan jurang menerusi jaringan padang Mohd Fitri Saari.

Suku ketiga menyaksikan aksi yang lebih sengit apabila Fitri Saari sekali lagi menewaskan penjaga gol TNB untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-49 menerusi pukulan penalti strok.

Keputusan seri itu kekal sehingga wisel penamat dan perlawanan diheret ke penentuan pukulan penalti.

Shahril Saabah, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Azrai tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan pukulan sekali gus membantu TNB menjulang kejuaraan pembuka musim 2024.

Biarpun berjaya merampas kejuaraan, pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin akui masih ada ruang untuk diperbaiki anak buahnya.

"Permulaan yang baik dengan memenangi Piala Sumbangsih tetapi saya sangat tak puas hati dengan perlawanan, sebab kita memiliki banyak peluang untuk menjaring gol dan kita sia-siakan.

"Ramai pemain Malaysia terutamanya mereka tak dapat perform.. saya tak tahu kenapa terutamanya ketika menjaringkan gol, jadi kita kena lihat balik performance.. sebab off season apa tak pasti.. kita kena semak semula," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN