TMJ berangkat saksikan perlumbaan Asian Le Mans Series di Sepang
SEPANG, 13 Disember – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berangkat menyaksikan perlumbaan Asian Le Mans Series (ALMS) musim 2025–2026 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Turut berangkat, Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Keberangkatan Tunku Mahkota Ismail dan Tunku Tun Aminah adalah bagi memberikan sokongan kepada dua adinda baginda yang beraksi dalam perlumbaan berprestij itu, iaitu Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan meluangkan masa menyaksikan perlumbaan berkenaan menerusi peranti digital.
Bagi musim ini, Johor Motor Racing Team (JMR) menampilkan dua jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R, dengan gandingan enam pemandu bagi menghadapi cabaran kejohanan ketahanan tersebut.
Jentera pertama dipandu oleh Tunku Abdul Rahman bersama pelumba Australia Jordan Love dan pelumba Britain Ben Green, manakala jentera kedua digandingkan dengan Tunku Abu Bakar, pelumba Corvette Factory Racing dari England Alexander Sims serta pakar perlumbaan ketahanan Australia-Palestin, Yasser Shahim.
Asian Le Mans Series merupakan antara kejohanan perlumbaan ketahanan utama di rantau ini dan menjadi platform penting buat pasukan Johor Motor Racing Team menguji keupayaan di peringkat antarabangsa.