fb fb fb fb fb

Tidak penuhi kriteria kewangan: Kedah, Perak gagal dapat lesen kebangsaan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Kedah Darul Aman FC dan Perak FC menjadi dua pasukan Liga Super yang gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi musim 2025-2026 selepas tidak memenuhi kriteria kewangan seperti yang digariskan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR).

Keputusan itu dimuktamadkan oleh badan bebas First Instance Body (FIB) selepas meneliti semua dokumen permohonan dalam mesyuarat yang diadakan pada 13 Mei lalu dan pengesahan dibuat pada 22 Mei 2025.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menerusi kenyataan berkata, kegagalan memenuhi syarat kewangan menyebabkan kedua-dua kelab tidak layak beraksi dalam Liga Super musim hadapan.

Dalam pengumuman sama, FIB memaklumkan 11 kelab Liga Super dan dua pasukan AFL A1 berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan, yang sah untuk satu musim sahaja.

Lesen diberikan kepada Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.

Tiga kelab iaitu Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC turut diberikan lesen, namun dengan syarat di bawah Artikel 8(l) MFL CLR.

Ketiga-tiga kelab itu perlu menyerahkan maklumat kewangan tambahan selewat-lewatnya 31 Mei 2025 atau berisiko lesen mereka ditarik balik.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD