ALOR SETAR, 22 Mei - Kedah menyasarkan lonjakan prestasi kontinjennya pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor berbanding SUKMA Sarawak 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan Negeri Kedah, Muhammad Radhi Md Din berkata, penetapan jumlah pingat hanya akan dapat dimuktamadkan selepas tuan rumah mengumumkan jumlah sukan yang akan dipertandingkan.
Ujarnya, dengan semangat Hijau Kuning dan iltizam tinggi, Kedah bertekad untuk melakar sejarah baharu pada edisi akan datang.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan pemurniaan penanda aras bagi memperkemaskan lagi perancangan dan persiapan kontinjen Kedah ke SUKMA 2026 di Alor Setar.
Perbincangan bertujuan menetapkan sasaran realistik serta strategi pembangunan atlet yang lebih tersusun dan berfokus, agar kontinjen Kedah dapat mencapai prestasi cemerlang dan memperbaiki pencapaian.
Pada edisi terdahulu, kontinjen Kedah berjaya meraih 21 pingat emas dan menamatkan saingan di kedudukan ke-10 keseluruhan.