BILBAO, 22 Mei – Kapten Tottenham Hotspur, Son Heung-min menyifatkan kejayaan menjuarai Liga Europa sebagai pencapaian terbaik diraihnya selepas 10 tahun bersama kelab.
Pemain sayap berusia 32 tahun itu berkata, kejayaan ini sebagai jawapan kepada para pengkritik dan pemerhati sukan yang pernah menggesanya meninggalkan kelab berpangkalan di London demi memburu kejuaraan.
"Saya kekal di sini hampir sepuluh tahun kerana saya mahu menang trofi, sebab tiada siapa berjaya melakukannya. Jadi, mungkin ini cara paling sukar, mungkin juga cara yang salah.
"Tapi saya tidak peduli sebab kerana saya sentiasa mahukan cabaran. Dan saya rasa sebelum musim bermula, tiada siapa yang percaya kami boleh menang Liga Europa, tapi kami berjaya buktikannya.
"Sebagai kapten kelab, saya sangat bangga dengan pasukan dan para pemain dan kami sememangnya layak meraih trofi ini," katanya semasa sidang media di Bilbao.
Walaupun pernah menerima tawaran dari kelab lain dan kehilangan rakan sepasukan Harry Kane ke Bayern Munich pada 2023, Son kekal bersama Spurs kerana percaya pada misi kelab.
Dalam pada itu, Kapten Manchester United, Bruno Fernandes mengakui kecewa gagal menghadiahkan trofi Liga Europa kepada penyokong.
"Kekalahan sentiasa sukar diterima, tidak kira bagaimana ia berlaku. Ia tetap sukar dan merupakan detik yang sangat negatif.
"Kami mempunyai peluang untuk menjulang trofi dan meraih sesuatu yang positif pada musim ini, tetapi malangnya kami gagal melakukannya dan Ia memang sukar diterima," katanya.
Spurs menewaskan Manchester United 1-0 hasil jaringan tunggal Brennan Johnson dalam babak pertama pada aksi akhir yang berlangsung awal pagi Khamis (waktu Malaysia), sekali gus menamatkan kemarau trofi sejak 2008 dan muncul juara Eropah pertama sejak 1984.