KAJANG, 8 Mei – Peguam kepada pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim, memohon agar Jabatan Peguam Negara (AGC) membuka semula kertas siasatan kes simbahan asid yang berlaku ke atas anak guam mereka tahun lalu.
Menurut Nik Zarith Nik Moustpha, surat permohonan tersebut telah dihantar kepada AGC pada 15 April, selepas kes itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) pada 18 Februari lalu.
“Surat itu menyatakan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang boleh mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu sebagai suspek dan segala usaha yang dijalankan bagi tujuan berkenaan tidak membuahkan hasil.
“Oleh itu, pihak kami menyerahkan surat kepada AGC untuk membuka semula kertas siasatan kes ini sebagai langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian sewajarnya. Anak guam sentiasa bersedia sekiranya kertas siasatan dibuka semula,” katanya pada sidang media di firma guaman Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Mohd Haijan Omar berkata Faisal kecewa dengan keputusan siasatan tetapi faham proses undang-undang yang terlibat.
"Ternyata bahawa anak guam kami rasa kecewa dengan hasil keputusan. Kami ingin teruskan perbincangan dengan anak guam kami, Encik Faisal Bin Abdul Halim untuk menuntutkan langkah-langkah yang seterusnya", tambahnya.
Faisal, 27 tahun, disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei 2024 di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Dia mengalami kecederaan melecur tahap empat hingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 10 hari.