fb fb fb fb fb

Berpuluh ditahan, tiga cedera dilanggar kereta di Paris selepas kemenangan PSG

Foto AFP

PARIS, 8 Mei - Polis Perancis menahan seramai 43 individu dan tiga lagi cedera akibat dilanggar kereta selepas kelab bola sepak Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Arsenal untuk mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

Kemenangan 2-1 PSG ke atas kelab England itu di separuh akhir telah mencetuskan sambutan meriah di sekitar ibu negara pada malam Rabu, sekali gus membuka peluang kelab tersebut memburu gelaran Liga Juara-Juara Eropah pertama dalam sejarah mereka.

Dalam insiden berasingan, tiga orang cedera apabila sebuah kereta merempuh mereka berhampiran kawasan ikonik Champs-Elysees ketika penyokong meraikan kemenangan. Polis memaklumkan bahawa keadaan sekitar insiden tersebut masih dalam siasatan dan belum jelas buat masa ini.

Seorang daripada mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan kereta terbabit kemudiannya dibakar oleh orang ramai.

Wartawan Agence France-Presse (AFP) turut melaporkan terdapat dua kenderaan yang hangus di kawasan berdekatan Champs-Elysees.

Sementara itu, ribuan penyokong tanpa tiket berhimpun di luar stadium Parc des Princes sepanjang perlawanan berlangsung.

Pihak polis campur tangan untuk melancarkan aliran trafik selepas sambutan yang kecoh, namun mengesahkan tiada insiden besar berlaku di sekitar stadium.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN