ROM, 8 Mei- Juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka, kini kembali bangkit memberi saingan, bukan saja dalam arena tenis tetapi juga dalam menakluki permukaan yang pernah jadi cabaran terbesar baginya, gelanggang tanah liat.
Selepas meraih kemenangan di Saint-Malo baru-baru ini, Osaka tampil lebih yakin, bertenaga dan bersedia mengharungi musim gelanggan tanah liat dengan semangat baru.
Osaka menewaskan pemain Slovenia, Kaja Juvan, 6-1, 7-5 pada aksi akhir kejohanan L’Open 35 de Saint-Malo minggu lalu sebuah kejohanan WTA 125 sekali gus merangkul gelaran pertamanya di atas gelanggang tanah liat dan juga gelaran WTA pertama beliau sejak bergelar ibu pada Julai 2023.
“Saya mahu kumpul sebanyak mungkin pengalaman atas gelanggang tanah liat. Saya tiada ego sangat masa masuk kejohanan tu,” kata Osaka kepada pemberita selepas menewaskan pemain wild card, Sara Errani, 6-2, 6-3 pada pusingan pertama Terbuka Itali.
"Saya tidak kisah pun kalau perlu beraksi di Court 16. Saya kembali bukan semata-mata nak beraksi di gelanggang utama, tapi sebab saya benar-benar cintakan sukan ni."
Osaka mendedahkan keputusannya untuk menyertai kejohanan lebih kecil seperti Saint-Malo turut diinspirasikan oleh lagenda tenis Amerika Syarikat, Andre Agassi, yang pernah membina semula kerjayanya pada lewat 90-an melalui kejohanan dalam siri ATP Challenger.
“Saya ingat lagi masa baca buku Agassi... Ada satu babak dia cerita dia perlu tukar papan skor sendiri, lepas tu ada orang jerit ‘Image is everything!’ Bahagian tu betul-betul melekat dalam kepala saya,” katanya.
Bekas pemain nombor satu dunia itu sebelum ini sering bergelut di atas gelanggang tanah liat dan tidak pernah mara melepasi pusingan ketiga di Terbuka Perancis (Roland Garros), yang dijangka bakal disertainya hujung bulan ini.
Osaka dijadualkan bertemu pilihan kesembilan kejohanan, Paula Badosa, pada aksi seterusnya di Terbuka Itali.
“Saya rasa gelanggang tanah liat ni sangat bergantung pada kekuatan fizikal,” ujarnya.
“Itulah yang saya tekankan tahun ini dan nampaknya menjadi. Saya akan teruskan momentum ini, nanti saya cerita apa jadi di Roland Garros.”-REUTERS